Badr oh badr
Assalamualaikum blogger sekalian. Malam ini aku tampil lagi dengan isu yang lebih universal cket. Kisah ini kisah yang benar dan saya rasa ramai yang mengetahui tentangnya, namun saya juga amat yakin ramai juga tidak mengetahui dengan JELAS mengenainya. mungkin kurang pembacaan sejarah dalam kalangan kita. Mungkin perkongsian saya kali ini dapat membuka mata kita semua.
Permulaannya,Rasulullah SAW merancang untuk menyekat dan menyerang kafilah dagangan Quraisyy yang diketuai oleh Abu Sufian yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam. Rasulullah SAW berhasrat untuk merampas barang dagangan tersebut sebagai ganti harta-harta orang muhajirin yang telah dirampas oleh mereka. Rasulullah SAW juga bertujuan untuk mengurang jumlah yang mungkin terkorban dan dalam masa yang sama mendapat hasil banyak.
Akan tetapi, Allah SWT menghendaki sesuatu yang lebih baik bagi mereka, apabila mereka terpaksa berhadapan dengan bala tentera Quraisyy yang diketuai oleh Abu Jahal dengan kekuatan lebih daripada 1000 orang.
Antara peperangan untuk mendapat hak-hak dan peperangan menegakkan prinsip
Allah SWT berkehendak agar peperangan Badar menjadi peperangan untuk menegakkan prinsip bukan semata-mata peperangan untuk mengembalikan hak-hak. Pertempuran dengan bala tentera yang memiliki kekuatan menuntut pergorbanan yang tinggi daripada tentera Muslim yang dipimpin oleh Baginda SAW. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfaal:
وَإِذْ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ الشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَيَقْطَعَ دَابِرَ الْكَافِرِينَ
“Dan ingatlah ketika Allah menjanjikan kepadamu salah satu dari dua golongan yang kamu hadapi adalah untukmu, sedangkan kamu menghendaki yang tidak mempunyai kekuatan senjata untukmu, tetapi Allah menghendaki untuk membenarkan yang benar dengan ayat-ayatNya dan menumpaskan orang-orang kafir sampai ke akar-akarnya ” (al-Anfaal: 7)
Itulah yang dapat dilpelajari oleh Umat Islam sebagaimana yang diungkapkan oleh Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dalam risalahnya:
“Bahwa pembentukan suatu bangsa, pembinaan suatu umat, untuk mewujudkan harapan, menyokong prinsip-prinsipnya; memerlukan umat yang berusaha melakukan hal ini atau suatu kelompok yang menyeru kepadanya, sekurang-kurangnya mempunyai kekuatan psikologi yang besar, yang terdiri pada beberapa hal: kemahuan yang kuat yang tidak ada kelemahan di dalamnya, kesetiaan yang tidak tergugat atau ada pengkhianatan di dalamnya, pengorbanan yang murni yang tidak dihalangi oleh adanya tamak dan bakhil, mengenal tentang prinsip, meyakininya dan menghargainya, terlindung dari kesalahan di dalamnya, tidak ada penyimpangan dan tawar-menawar serta penipuan padanya”
Kebenaran mesti proaktif dan inisiatif
Ketika mana kafilah dagang Quraisyy bersiap sedia untuk berangkat pulang dari Syam ke Mekah, Rasulullah SAW telah mengutus Busaisah RA sebagai pengintip bagi merisik berita-berita dari kafilah dagang tersebut. Anas bin Malik RA berkata:
Ketika Busaisah datang ke rumah Rasulullah SAW tidak ada sesiapa kecuali beliau dan Baginda SAW. Kemudian Baginda SAW pun berbicara dengan Busaisah. Kemudian Rasulullah SAW keluar lalu bersabda “inna la na talibatan fa man kana zahruhu hadiran fal yarkab ma’a na”, yang bermaksud, “sesungguhnya untuk kita kafilah dagang, maka sesiapa yang bersama binatang tuganggannya maka tungganglah bersama kami”.
Ada beberapa orang sahabat lagi berkata binatang tuganggan kami berada wadi hujung Madinah. Baginda SAW menjawab: “La illa man kana zahruhu hadiran”, yang maksudnya, “tidak melainkan sesiapa yang binatang tunggangannya bersama sekarang” (Riwayat Muslim).
Kafilah terlepas, tentera Quraisy berkumpul
Abu Sufian bin Harb adalah seorang yang amat berhati-hati.
Ketika dia diberitahu bahawa Muhammad SAW sedang memberi motivasi kepada sahabat-sahabatnya untuk keluar mengejar kafilahnya. Abu Sufian juga telah menghantar utusan kepada kaum Quraisyy untuk memberitahu hal keadaan kafilahnya yang diancam oleh pengikut Muhammad SAW. Pada masa yang sama, Abu Sufian telah menukar laluan perjalanan dengan melalui persisiran pantai. Tindakan Abu Sufian ini akhirnya berjaya menyelamatkan kafilahnya dari serangan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda.
Dalam pada itu, utusan yang diutus oleh Abu Sufian kepada kaum Quraisyy Mekah telah berjaya membangkit kemarahan mereka kepada Nabi Muhammad SAW. Bahkan semua pembesar-pembesar Quraisyy keluar untuk menyahut seruan Abu Sufian bagi menyelamatkan harta-harta mereka, kecuali Abu Lahab yang menghantar wakil.
Tentera Quraisyy telah berkumpul dengan disertai beberapa kabilah arab yang lain. Jumlah tentera Quraisyy yang telah berkumpul mencecah 1300 orang, yang terdiri dari 100 tentera berkuda, 600 perisai dan unta yang banyak. Tentera Quraisyy ini diketuai oleh Abu Jahal. Tentera ini juga telah disertai oleh penyanyi-penyanyi yang memukul gedang dan mengejek-ejek serta menghina orang-orang Islam.
Di sini syura dan di sana kuku besi
Rasulullah SAW memaklumkan kepada sahabat-sahabatnya bahawa kafilah dagang yang menjadi sasaran mereka telah terlepas. Kini mereka terpaksa berhadapan dengan bala tentera Quraisyy yang lengkap dengan persiapan perang. Baginda SAW dapat merasai kegelisahan dikalangan sahabat-sahabatnya, ada yang merasa ragu-ragu, ada yang lemah semangat, ada yang rasa mereka perlu berangkat pulang untuk mengelak dari kekalahan dan kemusnahan.
Perasaan sebegini adalah fitrah manusia bila berhadapan dengan sesuatu yang mengancam keselamatan. Lebih-lebih apabila bilangan mereka hanya sekitar 319 orang dan tidak mempunyai kelengkapan perang yang lengkap. Dalam Sahih Al-Bukhari, Al Bara’ RA menceritakan bahawa jumlah tentera Rasulullah SAW yang terlibat dalam peperangan Badar adalah sama dengan jumlah tentera Thalut ketika menyeberangi sungai, iaitu tiga ratus dan beberapa belas orang.
Rasulullah SAW tidak mengambil keputusan secara bersendirian. Sebaliknya, baginda meminta pandangan sahabat-sahabatnya dalam urusan ini.
Syaidina Abu Bakar RA lantas bangun menegaskan sesuatu yang amat baik. Kemudian Syaidina Umar Al-Khatab RA pula berucap dan menegaskan segalanya adalah amat baik. Akan tetapi Rasulullah SAW belum berpuas hati. Lalu Saad bin Ubadah RA bangun dan berkata:
“Ya Rasulullah! Kamu seolah-olah mahukan pendirian kami? Demi Tuhan yang diriku dalam gengamanNya, seandainya tuan membawa kami mengharungi lautan nescaya kami akan harungi, tak seorang pun akan berkecuali.
Seandainya tuan membawa kami ke Birak Al-Ghimad nescaya kami bertempur bersama tuan tanpa menghiraukan apa pun sehinggalah kita sampai ke sana” (Riwayat Muslim)
Dalam pada itu, tentera Quraisyy, telah mendapat tahu yang kafilah dagangan Abu Sufian telah selamat sampai ke Mekah. Sebahagian daripada mereka bercadang untuk kembali ke Mekah. Walaubagaimanapun, Abu Jahal dengan bongkak dan takbur bangun menyeru:
“Demi tuhan kita tidak akan pulang kecuali setelah sampai ke Badar.
Di sana kita akan berkhemah tiga malam, kita sembelih sembelihan, kita makan sepuas-pusanya, minum khamar dan kita berhibur dengan penyanyi-penyanyi kita. Sehingga berita pergerakkan dan perhimpunan kita didengari oleh bangsa Arab, lalu mereka akan merasa gerun terhadap kita untuk selama-lamanya” Di sini ketaatan di sana keretakkan
Setelah mengetahui kafilah dangang telah sampai ke Mekah dengan selamat, Bani Zuhrah bangun memberontak dan menarik diri daripada bala tentera Quraisyy lalu pulang ke Mekah. Kekuatan Bani Zuhrah lebih kurang 300 orang. Bani Hasyim juga hendak pulang, namun Abu Jahal berkeras agar mereka tidak pulang, katanya: “kamu tidak boleh bercerai dengan kami, ikut kami sehingga kami pulang”. Selepas itu, tentera Quraisyy terus mara dengan kekuatan seramai 1000 orang tentera.
Suasana di pihak tentera Islam adalah berlainan, dimana mereka memberi ketaatan yang sepenuhnya serta sokongan yang padu kepada pemimpin mereka, iaitu Baginda Rasulullah SAW.
Miqdad bin Al-Aswad RA berucap dengan penuh semangat:
“Demi Allah kami tidak akan berkata kepada tuan, seperti Bani Israel berkata kepada Musa AS, pergilah kamu bersama Tuhan kamu dan berperanglah kamu bersamaNya, kami akan tunggu di sini; tetapi kami akan berkata: Ayuh maralah kamu berperang, kami akan berperang di kanan dan kiri kamu, kami akan berperang di depan dan dibelakang untuk mempertahankan kamu” (Riwayat Al-Bukhari)
Kemudian Saad bin Muaz RA berucap:
“Sesungguhnya kami telah beriman dan membenarkan risalah yang kamu bawa. Kami telah bersaksi bahwa apa yang kamu sampaikan adalah benar. Kami juga telah mempercayai dan berjanji untuk patuh dan taat kepada mu; wahai Rasulullah! Ayuh mara ke hadapan, dan kami akan bersamamu. Demi Allah yang mengutuskan kamu dengan kebenaran, seandainya tuan membawa kami mengharungi lautan nescaya kami akan harungi, tidak ada seorang pun dari kami yang berkecuali. Kami gembira jika tuan membawa kami berperang dengan musuh esok. Kami adalah orang yang benar dan sabar di medan peperangan. Semoga Allah memperlihatkan sesuatu yang menyenangkan mata memandang. Ayuh bawalah kami ke hadapan dengan penuh keberkatan dari Allah”.
Pimpinan dan tentera berkongsi
Setelah mendapat mendapat sokongan dan taat setia dari semua tenteranya, Rasulullah SAW memerintahkan agar tenteranya meneruskan perjalanan ke Badar. Oleh kerana binatang tugangan yang di bawa tidak mencukupi, mereka terpaksa berkongsi binatang tugangan dengan menunggang secara bergilir-gilir. Rasulullah SAW sendiri berkongsi tugangan dengan dua sahabatnya . Abdullah bin Masud RA menceritakan:
“Pada peperangan Badar mereka berkongsi seekor unta untuk 3 orang sebagai tugangan. Rasulullah SAW berkongsi dengan Syaidina Ali RA dan Abu Lubabah RA. Bila tiba giliran Baginda SAW berjalan kaki, Syaidina Ali RA dan Abu Lubabah RA berkata: “wahai Rasulullah! kamu tungganglah unta, biar kami berdua berjalan untuk kamu”. Baginda SAW lalu bersabda: “ma antuma bi aqwa minni wa ma ana bi aghna anil ajri minkuma” yang bermaksud: “Aku lebih gagah dari kamu berdua dan aku juga memerlukan pahala seperti kamu”" ( RiwayatAhmad)
Mengambil sebab musabab adalah manhaj Islam
Rasulullah SAW menggerakkan tenteranya mendahului tentera musyrikin ke Badar. Baginda SAW mengarahkan tentera Muslimin mengambil tempat yang paling hampir dengan perigi. Al-Hubab bin Munzir RA bertanya: “wahai Rasulullah! Apakah tempat ini adalah sesuatu yang ditentukan oleh Allah sehingga kita tidak boleh maju atau mundur walau setapak pun? Atau apakah ianya sebagai pemilihan strategi atau taktik perang?” Baginda SAW menjawab: “Bal huwa ar rakyu wal harbu wal makidatu”, maksudnya: “ia adalah strategi dan taktik semata-mata”
Hubab RA berkata: “Jika begitu wahai Rasulullah, ia bukan tempat yang sesuai. Tuan bolehlah berpindah ke perigi musuh, kita musnah dan timbuskan semua kolam-kolam ditepinya dan kita bina takungan dan penuhkan air dalam takungan itu, supaya semasa berlaku pertempuran kita ada air untuk minum manakala musuh kekeringan dan kehausan”. Baginda SAW menjawab: “kamu telah memberi pendapat yang baik”
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan alam dan kehidupan ini ada sistem-sistem, ada peraturan-peraturan dan ada undang-undang yang dinamakan sunnatullah. Umat Islam diperintah supaya mengambil sebab-musabab dan tidak melanggar sistem dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri sentiasa mengambil sebab-musabab dalam setiap tindakan. Baginda SAW sentiasa memelihara sistem dan peraturan, meskipun Baginda SAW mendapat wahyu dari Allah SWT. Oleh itu, dapat kita fahami bahawa tidakan mengambil sebab-musabab adalah sebahagian daripada hakikat beriman dengan qadha dan qadar.
Penuh thiqah dan tawadhuk
Sebelum berlaku pertempuran, Rasulullah SAW berjalan ke medan yang akan berlaku pertempuran, sambil menunjuk dengan tangannya dan bersabda:
“Haza masra’u fulanin ghadan” yang bermaksud: “ini tempat kematian si pulan” dan meletakkan tangannya di tempat tersebut ; “Wa haza masra’u fulanin ghadan” dan Beliau meletakkan tangannya di tempat tersebut; “Wa haza masra’u fulanin ghadan wa wadha’a yadahu alal ardhi” dan ini tempat kematian si pulan besok dan Beliau meletakkan tangannya di tempat tersebut. (Riwayat Abu Daud)
Baginda SAW amat thiqah dan yakin dengan pertolongan Allah SWT serta tenang dengan janji kemenangan yang Allah SWT janjikan kepadanya. Firman Allah SWT:
وَإِذْ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ أَنَّهَا لَكُمْ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيْرَ ذَاتِ الشَّوْكَةِ تَكُونُ لَكُمْ وَيُرِيدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الْحَقَّ بِكَلِمَاتِهِ وَيَقْطَعَ دَابِرَ الْكَافِرِينَ
“Dan ingatlah ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu dari dua golongan yang kamu hadapai adalah untuk kamu” (al Anfal: 7)
Golongan pertama, iaitu kafilah dagang Quraisyy telah terlepas. Maka seolah-olah janji untuk mencapai kejayaan ke atas golangan kedua, iaitu tentera Quraisyy yang diketuai oleh Abu Jahal adalah suatu yang pasti dengan perintah Allah SWT. Namun begitu Rasulullah SAW tetap luju’ illallah (kembali kepada Allah) dan terus bertadarru’ (merendah diri) kepada Allah. Syaidina Ali RA menceritakan:
“semasa peperangan Badar, hanya Miqdad RA menunggang kuda. Semua di kalangan tentera tidur kecuali Rasulullah SAW yang sedang bersembahyang dan menangis sehingga waktu pagi di bawah sepohon pokoki” (Riwayat Ahmad)
Di sini tenang di sana gelisah
Pada malam Jumaat 17 Ramadhan tahun kedua hijrah, Rasulullah SAW menghabiskan masanya dengan bersembahyang kepada Allah. Sedangkan tentera Muslimin diberi nikmat oleh Allah, mereka dapat tidur dengan tenang dan bangun penuh keyakinan dan mendapat rehat yang secukupnya. Nikmat tidur ditambah lagi dengan nikmat turun hujan yang menyegarkan badan mereka, mengejabkan tanah dan mengetat ikatan pasir, menguatkan pendirian dan menghilangkan was-was syaitan. Firman Allah SWT:
إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِّنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذْهِبَ عَنكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الْأَقْدَامَ
“Ingatlah ketika kamu dilitupi oleh perasaan mengantuk, sebagai satu pemberian aman daripadaNya dan ingatlah ketika ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu, dan menghilangkan gangguan-gangguan syaitan dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan pendirian kamu” (Al-Anfal: 11)
Sebaliknya tentera Quraisyy diselubungi kegelisahan dan ketakutan. Pihak Quraisyy telah menghantar Umair bin Wahab untuk meninjau kekuatan tentera Muslimin. Selepas pulang dari meninjau Umair telah memberi amaran yang menakutkan mereka. Lalu Utbah bin Abi Rabiah berkata:
“Wahai kaumku! Aku berpendapat kamu berhadapan dengan kaum yang mencari kematian, jangan kamu bertempur dengan mereka.
Wahai kaumku! terimalah pendapat ku dan marilah kita pulang”. Lalu kaumnya menjawab bahawa Utbah penakut, dan Utbah menjawab bahawa dia bukan seorang penakut. Kemudian Abu Jahal menjawab kalau orang lain yang berkata begitu nescaya aku dah bunuhnya dan engkau dah diserapi perasaan takut. Utbah menjawab ia engkau hina aku, esok kita akan tahu siapa yang penakut.
Yang mendahului saf seperti terakhir
Rasulullah SAW amat mengambil berat tentang disiplin di kalangan tenteranya. Baginda SAW menyusun sendiri saf tenteranya. Abu Ayub Al-Ansari menceritakan bagaimana Rasulullah SAW menyusun sendiri barisan ketenteraanya dan beberapa orang yang terkeluar barisan yang disusun, lalu Baginda SAW bersabda kepada mereka: “bersamaku… bersamaku”. Seterusnya memberi amaran dengan sabdanya:
“La yataqa’damanna ahadun minkum ila syai’in hatta akuna ana u’zinuhu” yang bermaksudnya: “Jangan seseorang pun daripada kamu melakukan sesuatu sehinga aku memberi keizinan padanya” (Riwayat Ahmad)
Baginda SAW begitu teliti dan berdisiplin dalam menyusun saf tenteranya, ini adalah kerana berdisiplin adalah di antara tanda kekuatan kesatuan tentera muslimin yang akan berhadapan dengan tentera musyrikin Quraisyy.
Taghut pemusnah kaum
Selepas perselisihan di antara Abu Jahal dan Utbah bin Rabiah berlaku, Abu Jahal merasa bimbang dengan suara-suara penentangan yang semakin menjadi-jadi di kalangan tenteranya. Begitu juga dengan suara-suara yang mahu mereka pulang ke Mekah. Dia pun segera bertindak bagi menghapuskan suara-suara tersebut . Beliau menghantar orang menemui Amir bin Al-Hadharami, iaitu saudara Amru bin Al-Hadharami yang terbunuh dalam pertempuran dengan Sariyah Abdullah Jahsy, dengan berkata: “Itu dia Utbah, sekutu kamu, hendak pulang dengan pengikut-pengikutnya. Kamu sendiri tahu bahawa kita keluar untuk menuntut bela terhadap saudaramu. Ayuh bangun cari mana dia percabar dan pembunuh saudaramu”.
Lalu Amir bin Al-Hadharami bangun sambil melaung: “Wahai Amru! semangat kami telah memuncak dan kami bertekad menuntut bela atas kematianmu”. Amir bin Al-Hadharami telah berjaya mengapi-api semangat kaum Quraisyy untuk terus berperang, maka terpadamlah seruan pulang yang dilaungkan oleh Utbah.
Begitulah sikap pemimpin taghut yang sentiasa bersikap kuku besi dan tidak mahu mendengar nasihat yang baik, malah mereka sanggup menghina dan menggorbankan kaumnya sendiri demi hawa nafsu dan kepuasan mereka.
Ikatan akidah mengatasi keturunan
Pertempuran bermula dengan pertarungan satu lawan satu. Maka keluar tiga pahlawan Quraisyy iaitu Utbah bin Rabiah, saudaranya Syaibah bin Rabiah dan Al-Walid, anak Utbah, lalu segera disahut oleh tiga pemuda Ansar iaitu Auf dan saudaranya Muaz bin Al-Harith, serta Abdullah bin Rawahah. Utbah bertanya: “siapa kamu?” Mereka menjawab: “Kami adalah pemuda Ansar”. Utbah menolak untuk bertarung dengan pemuda Ansar sambil berkata: “Kami mahu lawan yang sepadan. Kami mahu anak bapa saudara kami dari Bani Abdul Mutalib”. Rasulullah SAW menyahut dengan berkata: “Wahai Ali, Hamzah dan Ubaidah bin Harith bin Abdul Mutalib bangun”.
Lalu mereka bangun dan tampil ke hadapan. Ubaidah RA bertarung dengan Utbah, manakala Hamzah RA pula berlawan dengan Syaibah, dan Ali RA berhadapan dengan Al-Walid. Hamzah RA dan Ali RA berjaya membunuh lawan masing-masing dengan pantas. Akan tetapi, pertarungan di antara Ubaidah RA dan Utbah berlangsung dengan sengit dan kedua-duanya tercedera, lalu Hamzah RA dan Ali RA segera membantu dan membunuh Utbah.
Berakhirnya pertarungan satu lawan satu yang merupakan satu malapetaka kepada tentera Quraisyy. Mereka kehilangan tiga pahlawan berkuda, malah mereka bertiga adalah dari kalangan pemimpin mereka. Kemarahan tentera Quraisyy tidak dapat dibendung lagi, lantas mereka terus meluru menyerang tentera Islam.
Keselamatan Daie merupakan keselamatan dakwah
Rasulullah SAW menyedari bilangan tenteranya hanya satu pertiga daripada tentera musuh. Rasulullah SAW berdoa dan bermunajat memohon restu kepada Allah SWT agar menunaikan janji-janjiNya dengan bersabda: ” Allahumma anjiz li ma wa a’dtani, Allahumma aati ma a’dtani, Allahumma in tastahlik hazihil i’sobati min ahlil Islam la tu’bad fil ardhi” (Riwayat Muslim).
Maksudnya: “Ya Allah! perkenankanlah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan, Ya Allah berilah kepadaku apa yang telah Engkau janjikan. Ya Allah! sekiranya kelompok Islam ini musnah nescaya Engkau tidak disembah lagi di dunia”
Sudah menjadi adat peperangan, ada yang terkorban dan ada yang syahid. Justeru, lahir perasaan hendak menjaga kesinambungan dakwah dan menjaga keselamatan kelompok yang mendokong dakwah. Sekalipun orang-orang Islam yang tidak ikut serta peperangan Badar, masih ramai di Madinah. Namun, doa dan munajat Baginda SAW yang begitu bersungguh dan serius menunjukkan kedudukan, keutamaan dan kepentingan kelompok kecil yang terdiri daripada golongan Muhajrin dan Ansar ini dalam rangka memartabatkan risalah Islam.
Ini dapat kita fahami daripada doa Rasulullah SAW: “Ya Allah! sekiranya kelompok Islam ini musnah nescaya Engkau tidak disembah lagi di dunia”.
Kemenangan dari Allah
Doa dan munajat Rasulullah SAW adalah kemuncak ubudiah kepada Allah SWT serta persaksian bahawa kemenangan hanya datang dari Allah SWT. Allah SWT sekali-kali tidak akan memungkiri janjiNya. Ada pun Rasulullah SAW fana’ dan tawadhuk ketika berdoa sambil menadah tangan ke langgit itulah ubudiah.
Hakikat inilah yang menjadi pegangan para sahabat RA. Peristiwa dapat kita lihat jelas ketika Abu Bakar datang meletakkan kain serban ke atas bahu Baginda SAW yang sedang berdoa, lalu berkata: “Dah cukup wahai Rasulullah dengan permintaan kau kepada Allah, sesungguhnya Allah perkenankan permintaanmu. Lalu Allah SWT berfirman:
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ
“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan mu lalu diperkenankanNya bagimu sesungguhnya aku akan menurunkan bantuan kepada mu dengan seribu Malaikat yang berduyun-duyun”" (Al-Anfal: 9)
Sumber : media PEMBINA