Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Alunan takbir dan tahmid mengenangkan kita kepada sejarah keagungan dan kemegahan Islam, apabila umat Islam berkuasa dan berjaya menundukkan tentera ahzab, satu titik permulaan kepada siri pembukaan Islam sehingga Islam berjaya mengusai dua pertiga dunia.
Allah Maha Besar, tiada yang boleh mengalahkanNya, Dia yang telah memenangkan tentera Islam dan segala pujian bagi Allah SWT. Allah telah menunaikan janjiNya dan mengalahkan tentera bersekutu. Dialah Allah yang Maha Esa.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Rangkap-rangkap takbir dan tahmid ini menjadi syiar yang dialunkan setiap tahun untuk memastikan jiwa mukmin sentiasa merasa izzah (bangga) dengan Islam, hidup dengan kebanggaan dan kemenangan. Sentiasa berada dalam kecemburuan yang tinggi terhadap maruah dan kemuliaan agama.
Walaupun dari segi politik, ekonomi, teknologi dan ketenteraan, umat Islam telah kalah kepada barat, jiwa mereka tidak sepatutnya merasa kalah. Jiwa keperwiraan untuk menuntut kemuliaan dan ketinggian harus terus membara selama takbir dan tahmid raya berkumandang dan ayat-ayat jihad dihayati.
Kekalahan yang paling teruk ialah kekalahan jiwa. Selama jiwa tidak kalah selama itu perjuangan untuk merampas semula kemuliaan akan diteruskan. Namun hari ini, kita melihat umat Islam diancam dengan kekalahan terakhir ini.
Sensitiviti umat Islam seakan-akan tiada lagi apabila dengan rela hati mereka menerima penghinaan. Mereka melihat pencabulan akidah dan pencerobohan kedaulatan negara sebagai perkara biasa, tanpa sedikit pun merasa terhiris.
Umat terdahulu pantang disentuh. Soal maruah dan harga diri jangan dicabar. Pantang orang kafir mengangkat kepala dalam negara Islam. Hari ini orang Islam di dalam negara Islam dengan senang hati boleh melantik orang kafir sebagai pemimpin mereka. Menghulur tangan menerima bantuan seratus dua ratus ringgit daripada orang kafir, berduyun-duyun mendengar tazkirah dan ceramah dari orang yang tidak beriman. Ke mana perginya maruah dan harga diri? Wahai umat Al-Quran dan umat Ar-Risalah!
Saya kira ini adalah hukuman Allah akibat dari kita meninggalkan agamaNya. Allah telah menghukum kita dengan kehinaan ini. Kehinaan dikuasai oleh orang bukan Islam, mengharap ihsan daripada mereka yang syirik. Sesungguhnya ia adalah seburuk-buruk hukuman.
Allah mengutuskan Islam untuk memuliakan kita. Menjadikan kita kaum yang di atas, membawa hidayah dan rahmat kepada sekalian alam, tetapi kita telah meninggalkan Islam lalu Allah telah menimpakan kita dengan kehinaan.
Sesungguhnya bagi Allah SWT segala kemegahan dan kemuliaan, bagi rasulNya dan bagi sekalian orang beriman.
Saidina Umar r.a. pernah berkata, “Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam, selama kita mencari kemuliaan daripada selain Islam, Allah akan menghina kita.”
Demi maruah dan kemuliaan Islam, Saidina Abu Bakar r.a. telah menyediakan sebelas pasukan tentera untuk memerangi puak murtad dan berkata, “Kalau mereka halang satu untai tali pun yang mereka tunaikan kepada Rasulullah s.a.w., aku akan memerangi mereka.”
Harun Ar-Rashid mengancam Nakfur maharaja Rom dalam sepucuk surat yang diutuskan kepada maharaja Rom tersebut dengan katanya, “Bismillahirrahmanirrahim, dari Harun Ar-Rashid Amirul Mukminin kepada Nakfur anjing Rom, jika kamu tidak membayar jizyah aku akan memerangi kamu dengan tentera yang awalnya di sisi kamu dan akhirnya di sisi aku”.
Hari ini orang kafir di tempat kita mengugut kita dan mengancam kita, kita masih memandang biasa, belum cukup itu semua untuk meremangkan bulu-bulu roma kita.
Khalifah Islam Abu Ishaq, Muhammad bin ar-Rashid al-Muktasim telah menakluk Amuriah apabila mendengar seruan wanita yang menyeru: “Wahai Muktasim! Apabila maharaja Room menyerang sempadan negara Islam dan membunuh lelaki dan menculik kaum wanita Islam.
Dan sultan pahlawan Islam, Solahuddin al-Ayyubi telah menyerang kubu Karak dan menakluknya apabila Reynold pemimpin kubu tersebut menganggu rombongan haji yang menyeberangi dari Sham ke Hijaz (Mekah).
Inilah beberapa contoh kemuliaan dan harga diri yang ditunjukkan oleh generasi silam.
Sementara kita mengalunkan takbir dan tahmid sempena hari raya ini, hari besar umat Islam, mari kita hayati kemegahan dan kemuliaan diri yang telah hilang dari dalam diri kita. Mari kita tebus maruah kita yang telah dirampas. Seterusnya bertaubat kepada Allah SWT dengan benar-benar kembali kepada Islam serta memohon ampun agar Allah SWT melepaskan kita dari bala kehinaan ini, kehinaan dikuasai oleh orang-orang yang bukan Islam.
Sesungguhnya al-fitnah (duduk di bawah orang-orang kafir ) itu lebih berat di sisi Allah daripada sakit berjuang di jalan Allah SWT.
SALAM KEMAAFAN DAN EIDUL FITRI
Sumber : Media ISMA
Maklumat lanjut, kilk sini