Selamatkan Palestin

Profil Aman Palestin  



Pembentukan Negara Haram Israel pada 15 Mei, 1948 di bumi Palestin 64 tahun lalu telah mengundang malapetaka besar di mana dunia mulai menyaksikan kekejaman rejim Zionis memalui pertempuran demi pertempuran yang mengakibatkan beribu-ribu warganegaranya gugur syahid, jutaan pelarian yang meninggalkan tanahairnya sendiri berhadapan masalah pengangguran dan cacat anggota. Tidak kurang juga anak-anak menjadi yatim kerana kehilangan ibubapa dan isteri menjadi janda kerana kehilangan suami yang terkorban mempertahankan Palestin dari terus dijajah dan dicabuli. 

Penderitaan dan kesengsaraan berpanjangan yang ditanggung rakyat Palestin menjadi satu keinsafan bagi umat Islam menghulurkan bantuan. 

Justeru itu, Aman Palestin sebagai Inisiatif Keamanan Palestin bergerak atas tiga landasan iaitu:
  1. Kemanusiaan
  2. Persaudaraan
  3. Kesucian Baitul Maqdis
Aman Palestin memberi bantuan kecemasan, kebajikan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestin secara berterusan sehingga selesai. 

AMAN PALESTIN 

Aman Palestin mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Aman Palestin sentiasa berusaha memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat Malaysia tidak sahaja sampai malah kesemua bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin di Palestin. Pada 3hb. Januari 2006, pendaftaran Aman Palestin telah diluluskan secara rasmi dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama AMAN PALESTIN BERHAD sebagai sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan (non-profit organisation) bagi membantu rakyat Palestin secara kolektif, terancang, berterusan dan berkesan. Semenjak ditubuhkan, Aman Palestin telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk projek-projek kepada rakyat Palestin di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan dan sumbangan daripada orang ramai. Diharapkan agar keperihatinan yang berterusan oleh rakyat Malaysia dalam menyalurkan bantuan dapat memberikan sinar harapan dan membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin. 

VISI

Menerapkan kesedaran dan keinsafan dalam hati sanubari umat Islam di Malaysia untuk membantu saudara mereka di Palestin sebagai satu ummah yang bersaudara, dan kepada yang bukan Islam sebagai rasa kemanusiaan yang tidak terbela sehingga kini. 

MISI 

Membina projek yang nyata di dalam pelbagai bidang di bumi Palestin untuk membantu mereka membina masa depan dan meneruskan kehidupan, disamping menampung keperluan-keperluan segera yang diperlukan. 

Objektif 

Antara matlamat utama ialah:
  1. Memberikan kesedaran masyarakat berkaitan isu Palestin.
  2. Mendapatkan dan mengumpulkan dana serta menyalurkan bantuan.
  3. Menjalinkan hubungan dengan badan-badan kemanusiaan dalam dan luar negara.
  4. Bekerjasama dengan badan-badan kerajaan dan NGO.
  5. Merancang aktiviti secara bersepadu.
  6. Menganjurkan siri-siri forum perbincangan.
  7. Menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan sebaran am.

Aktiviti 

Bagi memastikan objektif penubuhan Aman Palestin tercapai, pelbagai program dan aktiviti diadakan sama ada di Palestin atau kem-kem pelarian Palestin yang terdapat di Lubnan dan negara sekitarnya. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dijalankan secara ringkasnya adalah seperti berikut:
  1. Pembinaan Rumah Anak-Anak Yatim Palestin. Projek ini adalah satu usaha membangunkan rumah anak-anak yatim Palestin yang berada di Palestin ataupun di kem-kem pelarian mereka.
  2. Bantuan Pelajaran Pelajar-Pelajar Palestin. Iaitu menyediakan bantuan pelajaran untuk pelajar-pelajar Palestin yang berada di dalam Palestin dan di kem-kem pelarian mereka.
  3. Bantuan Sara Hidup Yatim Palestin. Projek ini bertujuan menyediakan bantuan sara hidup untuk anak-anak yatim Palestin yang berada dalam kemiskinan dan kemelaratan. Sehingga kini, Aman Palestin menguruskan bantuan sara hidup anak yatim di dalam Palestin dan Lubnan.
  4. Projek Pembiayaan Keluarga Miskin dalam Palestin.
  5. Projek Pertanian Sara Diri di Nablus.
  6. Projek Berbuka Puasa. Menyediakan makanan berbuka puasa untuk pelarian, anak-anak yatim dan masyarakat Palestin.
  7. Bantuan Perubatan Palestin. Bekalan ubat di Palestin tidak mencukupi ekoran sekatan Amerika dan sekatan apartheid Yahudi. Oleh itu projek ini adalah penting untuk menyediakan bekalan ubat yang diperlukan oleh rakyat Palestin.
  8. Projek Qurban Aidil Adha Palestin. Projek ini adalah untuk membekalkan daging korban untuk pelarian, anak-anak yatim dan masyarakat Palestin sempena Hari Raya Aidil Adha.
  9. Bantuan Hari Raya. Membekalkan makanan dan pakaian yang diperlukan oleh pelarian, anak-anak yatim dan masyarakat Palestin untuk menyambut Hari Raya.
  10. Projek Ambulans bagi Klinik Hamzah.
  11. Projek Pusat Kegiatan Anak-Anak Yatim.
  12. Selain aktiviti-aktiviti dan projek di atas, Aman Palestin juga terlibat dalam melaksanakan projek-projek lain seperti Kafah Ibu Tunggal, Projek Puasat Latihan, Projek Pembinaan Pusat al Quran, Projek Pembangunan Sekolah Untuk Anak-Anak Pelarian dan Yatim Palestin, Projek Bantuan Pakaian & Beg dan Projek Pakaian Musim Sejuk. 

Kerjasama 

Aman Palestin menjalankan kerjasama dengan institusi-institusi kerajaan, institusi swasta, syarikat korporat, sekolah-sekolah, masjid-masjid, badan-badan kebajikan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO's) di dalam dan luar negara bagi mencapai objektifnya.

Penutup 

Kerjasama daripada semua pihak untuk menjayakan cita-cita suci lagi murni ini amatlah dihargai. Hanya ganjaran daripada Allah Ta'ala jua yang selayaknya dan kami bagi pihak rakyat Palestin yang amat-amat memerlukan bantuan mengucapkan jutaan terima kasih.

p/s : 
bagi sesiapa ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aman palestin klik sini
bagi yang berminat turut serta membantu dalam aktiviti Aman Palestin klik sini